Alhamdulillah, dalam Isu Kes Kalimah Allah 2.0 ini, baginda Sultan Selangor, D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, hari ini dengan sangat tegasnya bertitah agar Kalimah Allah hanya hak eksklusif agama Islam.
Baginda bertitah, “apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri” adalah suatu mesej yang kuat dan tidak boleh diambil ringan.
Titah ini mengabsahkan lagi kegusaran dan tersinggungnya hati umat Islam dalam isu ini sekaligus menyangkal pihak-pihak yang cuba memperlekeh-lekeh umat Islam kononnya kerisauan kami tidak berasas.
Alhamdulillah, salah satu daripada enam resolusi Persidangan NGO-NGO Islam dalam isu ini sudah hampir tercapai, iaitu agar Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam setiap negeri mengambil tindakan dalam isu ini.
Selain itu, sebelum ini D.Y.M.M Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga telah bertitah perkara yang sama dengan tegas dan mengarahkan tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil segera.
InsyaAllah, kita pasti Sultan-Sultan di negeri-negeri lain juga bakal menyusul untuk mengeluarkan titah yang sama dalam isu ini dengan tegas demi mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam di negeri masing-masing sekaligus di seluruh Malaysia, sebagai agama negara.
Patik menjunjung kasih dan menyokong titah Tuanku ini yang bersungguh-sungguh menunaikan amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Rakyat jelata berasa sungguh lega dan gembira sekali atas titah Tuanku ini.
Ayuh umat Islam, Raja-Raja kita sudah bertitah. Apa lagi yang kalian ragu-ragu lagi untuk mengambil pendirian dalam isu ini? Apakah pendirian ketua parti kalian lebih penting berbanding titah Raja-Raja kamu?
Alhamdulillah. Allahuakbar. Daulat Tuanku.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
23 Mac 2021
Tuliskan maklum balas atau komentar
You should Sign Up account to post comment.
or